SEBERANG JAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini turut menyatakan pemberian hak dan kemudahan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang.

Tinjauan mendapati, ramai berpendapat pemberian itu adalah tanda pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kepimpinan pembangkang untuk bersama-sama memberi tumpuan kepada isu rakyat ketika ini.

Ia juga dilihat akan lebih memudahkan pimpinan pembangkang untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan, lebih-lebih lagi melibatkan bantuan kepada penduduk di kawasan mereka.

Pekerja swasta, Muhamad Khairal Azman Abdul Kadir, berkata beliau menyokong langkah kerajaan yang dianggap mengetepikan dahulu permainan politik demi memberi tumpuan kepada isu COVID-19 dan ekonomi negara.

"Bagi saya kerajaan bagi sama rata untuk manfaat rakyat juga. Tapi pembangkang perlu realisasikan untuk bersama-sama kerajaan beri tumpuan kepada rakyat.

"Kita rakyat tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang, apa yang penting tanggungjawab kepada rakyat ditunaikan oleh wakil rakyat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penjawat awam, Rashidah Mohd Furqan, pula berkata pemberian itu juga menandakan tiada pihak yang tercicir.

"Kira semua tak tercicir, semua dapat tak kira siapa, tak kira parti politik. Selepas ini tiada alasan untuk tidak bantu atau beri tumpuan kepada rakyat," katanya.

MoU yang dimeterai sebelum ini merangkumi enam agenda iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

MoU berkenaan turut menetapkan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Selain itu peruntukan sama rata turut diberi kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang terlibat dalam persefahaman ini, bagi menjamin khidmat berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat.